Nahas jalan raya meningkat 9.7%
>> Monday, June 21, 2010
MELAKA 12 Jan. - Walaupun pelbagai kempen keselamatan jalan raya diadakan setiap tahun, namun jumlah kemalangan termasuk yang melibatkan kematian di negeri ini terus meningkat.
Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd. Rodhwan Mohd. Yusof (gambar) berkata, ini dibuktikan dengan statistik kemalangan tahun lalu yang meningkat sebanyak 1,178 kes atau 9.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurut beliau, pada tahun lalu, sebanyak 13,286 kes kemalangan kemalangan jalan raya direkodkan berbanding 12,108 kes pada 2008.
"Jumlah kemalangan maut juga meningkat iaitu sebanyak 10 kes, daripada 235 kes pada 2008 kepada 245 kes pada tahun lalu.
"Kebanyakan kematian pula terdiri daripada pemandu dan penumpang kereta," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan di ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, di sini semalam.
Sehubungan itu Mohd. Rodhwan menambah, pelbagai usaha yang lebih holistik akan dirangka tahun ini termasuk meningkatkan lagi penguatkuasaan, operasi dan program pencegahan.
Katanya, antaranya dengan mengadakan pameran dan ceramah keselamatan jalan raya di sekolah-sekolah rendah bagi menyemai sikap pemanduan berhemah sejak di peringkat awal.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Rodhwan berkata, polis negeri berjaya menangkap seramai 2,085 penagih dadah atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1985 di negeri ini sepanjang tahun lalu.
Tambahnya, dalam tempoh sama, polis turut merampas harta bernilai RM387,259.43 di bawah Akta Dadah Merbahaya (Pelucutan Harta).
0 comments:
Post a Comment