Murid maut lantunan besi
>> Monday, June 21, 2010
KEADAAN cermin kereta yang dinaiki Muhammad Taufiq Asyraf Zamunir (gambar kecil) yang maut selepas terkena besi yang melantun dari jalan raya di Jalan Kangar-Alor Setar berhampiran Kampung Permatang Bongor, Sanglang Perlis semalam. |
KANGAR 20 Jun – Seorang murid tahun lima ini begitu bersemangat untuk memulakan persekolahannya esok, selepas bercuti panjang selama dua minggu.
Malah pagi-pagi lagi, Muhammad Taufiq Asyraf Zamunir, 11, telah ke kedai untuk menggunting rambutnya.
Namun hasrat murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Baru di sini, itu tidak kesampaian apabila dia terbunuh ketika dalam perjalanan ke Alor Setar dengan menaiki kereta bersama bapa saudaranya.
Lebih tragis apabila punca kematiannya akibat terkena sebatang besi seberat 2.7 kilogram yang tercampak dari sebuah treler semasa berselisih di Jalan Kangar-Alor Setar, berhampiran simpang Permatang Bogor di sini, pada pukul 2.30 petang ini.
Besi jenis ‘C Channel’ dan berukuran 8x8 sentimeter itu dikatakan terjatuh di atas jalan lalu terpelanting ke atas cermin hadapan kereta tersebut.
Lantunan besi tersebut menyebabkan cermin hadapan kereta pecah dan terus mengenai kepala mangsa yang berada di tempat duduk belakang.
Besi berkenaan kemudian mengenai cermin belakang kereta.
Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Rosli Yahaya ketika dihubungi di sini hari ini berkata, Muhammad Taufiq yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, bapa saudara mangsa, Mohd. Mustakim Ramjan, 19, yang memandu kereta dan seorang rakannya, di sebelah tempat duduk pemandu, bagaimanapun hanya cedera ringan.
“Semasa kejadian, semua mereka dalam perjalanan ke sebuah kedai motosikal di Alor Setar,” katanya.
Bapa mangsa, Zamunir Safari Putih, 42, berkata, dia menyedari sikap pelik Muhammad Taufiq sejak seminggu lalu apabila sering bertanya mengenai syurga.
“Kali terakhir dia bertanya adalah semalam, dia tanya.. Abah macam mana hendak masuk syurga, saya kata dia boleh terus masuk syurga kerana belum baligh.
“Namun berbeza dengan saya kerana kena timbang dosa pahala,” ujarnya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini hari ini.
Menurut Zamunir, selain itu, anaknya tersebut juga bersemangat hendak memulakan persekolahannya esok dengan pergi sendiri ke kedai gunting rambut untuk memotong rambut pagi ini.
Katanya, Muhammad Taufiq juga beria-ia ingin menemani bapa saudaranya tersebut ke Alor Setar kerana mendakwa ia merupakan kali terakhir dia menaiki kereta itu.
“Dia menyampaikan hajatnya itu kepada ibunya, Suzita Ramjan, 40, sebelum menaiki kereta tersebut.
“Kami sekeluarga tidak menyangka memang itu kali terakhir dia menaiki kereta ini kerana kami fikir mungkin kerana cukai kereta itu akan berakhir hari ini,” katanya.
Muhammad Taufiq yang mempunyai kegemaran mengumpul setem dan pensil merupakan anak ketiga daripada empat beradik.
Sementara itu, pemandu lori treler berkenaan telah ditahan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan kecuaian semasa memandu sehingga menyebabkan kematian.
0 comments:
Post a Comment