Lima maut kes denggi dalam 7 hari

>> Monday, June 21, 2010

2010/06/17

891 kejadian dilapor tempoh sama

KUALA LUMPUR: Lima kematian akibat demam denggi dilaporkan dalam tempoh tujuh hari bermula 6 Jun lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican. Beliau berkata, tiga kematian berlaku di Selangor dan masing-masing satu kes di Perak dan Sarawak.

“Empat daripada lima kematian ini berlaku di kawasan wabak denggi dan di kawasan yang tidak bersih serta mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi iaitu antara empat hingga 18 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. Beliau berkata, dalam tempoh itu juga 891 kes dilaporkan, iaitu peningkatan 77 kes berbanding minggu sebelumnya, menjadikan jumlah terkumpul sehingga kini ialah 21,309 kes berbanding 23,056 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

“Walaupun bilangan kes menurun sebanyak lapan peratus pada tahun ini, bilangan kematian meningkat 21 peratus daripada 57 kematian tahun lalu kepada 69 kematian dalam tempoh yang sama tahun ini,” katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, sepanjang minggu lalu, ada 22 kawasan berisiko tinggi yang masih aktif berbanding 24 lokaliti berisiko tinggi pada minggu sebelumnya, membabitkan Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan dan Kelantan.
Daripada jumlah itu, 11 kawasan masih mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi dan hanya empat daripada 22 lokaliti berisiko tinggi melaksanakan aktiviti gotong-royong untuk membersihkan kawasan itu.

Sementara itu, bagi tempoh yang sama, lima kes penyakit chikungunya dilaporkan iaitu tiga di Sarawak dan masing-masing satu kes di Selangor dan Sabah.

Jumlah terkumpul kes chikungunya ialah 566 kes berbanding 2,687 kes, penurunan sebanyak 2,121 kes atau 79 peratus untuk tempoh yang sama pada tahun 2009, katanya. – BERNAMA

Read more...

36 penyakit dilindungi dana KWSP

2010/06/15
Pengeluaran Kesihatan penyakit kritikal baru kuat kuasa hari ini

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menambah jumlah penyakit kritikal yang boleh dikeluarkan di bawah Pengeluaran Kesihatan daripada 13 jenis penyakit kepada 36 jenis penyakit.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol berkata, jumlah penyakit kritikal yang baru berkuat kuasa hari ini. “Selain daripada 36 penyakit kritikal ini, ahli juga boleh membuat pengeluaran bagi merawat ahli keluarga berumur di bawah 16 tahun untuk tiga lagi penyakit kritikal iaitu lelah yang teruk, leukemia dan kecacatan intelektual disebabkan kemalangan atau penyakit,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Azlan berkata, bagi pengeluaran kesihatan ahli dibenar mengeluarkan simpanan mereka daripada Akaun 2 bagi membiayai kos rawatan penyakit kritikal untuk diri mereka dan ahli keluarga.

“Ahli keluarga di bawah pengeluaran ini termasuk pasangan suami isteri, anak, anak tiri atau anak angkat yang sah dari segi perundangan, ibu bapa, mentua, ibu bapa tiri atau ibu bapa angkat yang sah dari segi perundangan dan adik-beradik.

“Namun ahli tidak layak untuk memohon pengeluaran ini sekiranya penyakit yang dihidapi mereka tidak dinyatakan dalam senarai penyakit kritikal KWSP atau kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan ahli atau majikan ahli keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata, semua pengeluaran tertakluk kepada kesahihan laporan kesihatan, bil dan resit yang tidak melebihi tempoh satu tahun dari tarikh permohonan pengeluaran dibuat di atas nama pesakit atau pemohon.

Read more...

Dua bayi perlu bantuan

2010/06/21
Sumbangan keseluruhan RM80,000 rawat jantung berlubang

GEORGETOWN: Dua bayi masing-masing berusia 20 hari dan tujuh bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan di Pusat Perubatan Gleneagles (GMC), di sini.

Nur Batrisyia Qistina Zamri, 20 hari, memerlukan bantuan kewangan berjumlah RM50,000 untuk menjalani pembedahan segera bagi memulihkan saluran jantung dan membolehkannya bernafas dengan lancar.

Bapanya, Zamri Zaharo, 30, yang bekerja sebagai juruteknik dengan pendapatan RM1,600 dan ibunya, Norhidayah Othman, 30, seorang suri rumah tidak mampu untuk menampung kos pembedahan itu.
Norhidayah ketika ditemui baru-baru ini, berkata mereka tidak mampu menampung kos pembedahan yang tinggi selepas membelanjakan hampir RM6,000 untuk kos bersalin baru-baru ini.

“Anak kami disahkan menghidap penyakit jantung selepas empat hari dilahirkan akibat mengalami demam kuning yang agak tinggi,” katanya.

Seorang lagi bayi, Muhammad Afiq Rayyan Zolkifli, tujuh bulan, yang menghidap penyakit jantung berlubang dan saluran darah sempit memerlukan pembedahan segera bagi memulihkan semula saluran itu.

Ibunya, Noor Aswani Shabudin, 34, seorang kakitangan swasta dari Gurun, Kedah, buntu memikirkan bagaimana mahu mencari wang untuk tujuan itu selain terpaksa mengharapkan pendapatan suami, Zolkipli Ahmad, 42 yang hanya bekerja sendiri.
Beliau berkata, keluarganya memerlukan sumbangan untuk menampung kos pembedahan anak sulungnya yang berjumlah RM30,000.

Sumbangan boleh disampaikan dengan menghantar cek atau wang pos kepada NSTP Charity Fund, Bahagian Kewangan/Tabung Kebajikan NSTP, The New Straits Times Press (M) Berhad, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur dengan menulis nama kanak-kanak berkenaan di belakang cek.

Read more...

Nahas jalan raya meningkat 9.7%

MELAKA 12 Jan. - Walaupun pelbagai kempen keselamatan jalan raya diadakan setiap tahun, namun jumlah kemalangan termasuk yang melibatkan kematian di negeri ini terus meningkat.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd. Rodhwan Mohd. Yusof (gambar) berkata, ini dibuktikan dengan statistik kemalangan tahun lalu yang meningkat sebanyak 1,178 kes atau 9.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.



Menurut beliau, pada tahun lalu, sebanyak 13,286 kes kemalangan kemalangan jalan raya direkodkan berbanding 12,108 kes pada 2008.

"Jumlah kemalangan maut juga meningkat iaitu sebanyak 10 kes, daripada 235 kes pada 2008 kepada 245 kes pada tahun lalu.



"Kebanyakan kematian pula terdiri daripada pemandu dan penumpang kereta," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan di ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, di sini semalam.

Sehubungan itu Mohd. Rodhwan menambah, pelbagai usaha yang lebih holistik akan dirangka tahun ini termasuk meningkatkan lagi penguatkuasaan, operasi dan program pencegahan.

Katanya, antaranya dengan mengadakan pameran dan ceramah keselamatan jalan raya di sekolah-sekolah rendah bagi menyemai sikap pemanduan berhemah sejak di peringkat awal.



Dalam perkembangan lain, Mohd. Rodhwan berkata, polis negeri berjaya menangkap seramai 2,085 penagih dadah atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1985 di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Tambahnya, dalam tempoh sama, polis turut merampas harta bernilai RM387,259.43 di bawah Akta Dadah Merbahaya (Pelucutan Harta).


Read more...

451 kanak-kanak, remaja maut kemalangan sepanjang 2008

SEREMBAN 16 Julai - Sebanyak 451 kematian yang dicatatkan di jalan raya di seluruh negara tahun lalu membabitkan golongan kanak-kanak dan remaja berusia antara enam dan 20 tahun.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hoi Chew berkata, daripada jumlah itu, 104 orang melibatkan kanak-kanak berusia antara enam hingga 10 tahun, 139 orang (11 dan 15 tahun) dan 208 (16 dan 20 tahun).

Jelas beliau, sebahagian daripada kes kemalangan maut itu dipercayai melibatkan penunggang motosikal kanak-kanak serta remaja yang tidak berlesen.

''Kementerian Pengangkutan akan mempertingkatkan pelaksanaan kempen memupuk kesedaran keselamatan jalan raya di kalangan kanak-kanak dan remaja bagi mengurangkan kadar kemalangan maut membabitkan golongan tersebut,'' katanya.

Robert Lau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sudut Keceriaan dan Keselamatan Jalan Raya 2009 anjuran ICI Paints Sdn. Bhd. di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said dekat sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri, Datuk Ismail Lasim; Pengarah Urusan ICI Paints Sdn. Bhd., Goh Cheok Weng dan pengetua cemerlang sekolah berkenaan, Wan Ruhayah Wan Yaacob.

Menurut beliau lagi, setiap anggota masyarakat terutamanya ibu bapa perlu memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan jalan raya di negara ini selamat kepada kanak-kanak serta remaja.

Dalam pada itu, jelasnya, sebanyak 2,713 kematian akibat kemalangan jalan raya berlaku di seluruh negara sepanjang Januari hingga Mei tahun ini.

Read more...

Murid maut lantunan besi


KEADAAN cermin kereta yang dinaiki Muhammad Taufiq Asyraf Zamunir (gambar kecil) yang maut selepas terkena besi yang melantun dari jalan raya di Jalan Kangar-Alor Setar berhampiran Kampung Permatang Bongor, Sanglang Perlis semalam.


KANGAR 20 Jun – Seorang murid tahun lima ini begitu bersemangat untuk memulakan persekolahannya esok, selepas bercuti panjang selama dua minggu.

Malah pagi-pagi lagi, Muhammad Taufiq Asyraf Zamunir, 11, telah ke kedai untuk menggunting rambutnya.

Namun hasrat murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Baru di sini, itu tidak kesampaian apabila dia terbunuh ketika dalam perjalanan ke Alor Setar dengan menaiki kereta bersama bapa saudaranya.



Lebih tragis apabila punca kematiannya akibat terkena sebatang besi seberat 2.7 kilogram yang tercampak dari sebuah treler semasa berselisih di Jalan Kangar-Alor Setar, berhampiran simpang Permatang Bogor di sini, pada pukul 2.30 petang ini.

Besi jenis ‘C Channel’ dan berukuran 8x8 sentimeter itu dikatakan terjatuh di atas jalan lalu terpelanting ke atas cermin hadapan kereta tersebut.



Lantunan besi tersebut menyebabkan cermin hadapan kereta pecah dan terus mengenai kepala mangsa yang berada di tempat duduk belakang.

Besi berkenaan kemudian mengenai cermin belakang kereta.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Rosli Yahaya ketika dihubungi di sini hari ini berkata, Muhammad Taufiq yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, bapa saudara mangsa, Mohd. Mustakim Ramjan, 19, yang memandu kereta dan seorang rakannya, di sebelah tempat duduk pemandu, bagaimanapun hanya cedera ringan.



“Semasa kejadian, semua mereka dalam perjalanan ke sebuah kedai motosikal di Alor Setar,” katanya.

Bapa mangsa, Zamunir Safari Putih, 42, berkata, dia menyedari sikap pelik Muhammad Taufiq sejak seminggu lalu apabila sering bertanya mengenai syurga.

“Kali terakhir dia bertanya adalah semalam, dia tanya.. Abah macam mana hendak masuk syurga, saya kata dia boleh terus masuk syurga kerana belum baligh.

“Namun berbeza dengan saya kerana kena timbang dosa pahala,” ujarnya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini hari ini.



Menurut Zamunir, selain itu, anaknya tersebut juga bersemangat hendak memulakan persekolahannya esok dengan pergi sendiri ke kedai gunting rambut untuk memotong rambut pagi ini.

Katanya, Muhammad Taufiq juga beria-ia ingin menemani bapa saudaranya tersebut ke Alor Setar kerana mendakwa ia merupakan kali terakhir dia menaiki kereta itu.

“Dia menyampaikan hajatnya itu kepada ibunya, Suzita Ramjan, 40, sebelum menaiki kereta tersebut.



“Kami sekeluarga tidak menyangka memang itu kali terakhir dia menaiki kereta ini kerana kami fikir mungkin kerana cukai kereta itu akan berakhir hari ini,” katanya.

Muhammad Taufiq yang mempunyai kegemaran mengumpul setem dan pensil merupakan anak ketiga daripada empat beradik.

Sementara itu, pemandu lori treler berkenaan telah ditahan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan kecuaian semasa memandu sehingga menyebabkan kematian.


Read more...

Hipertensi pembunuh senyap


Prof. Dr. Sim Kui Hian (kiri) bersama Prof. Hans Henrick Parving dan Avinash Potnis (kanan) semasa pelancaran ubat resilez baru-baru ini.


TEKANAN darah tinggi (hipertensi) kadang-kala digelar 'pembunuh senyap' kerana tidak menunjukkan apa-apa simptom pada peringkat awal tetapi boleh menyebabkan bilangan kematian yang tinggi di kalangan penduduk negara ini dan juga di seluruh dunia.

Walaupun ia adalah antara penyakit yang paling dikenali oleh rakyat Malaysia selain kencing manis dan sakit jantung, ramai yang bersikap acuh tidak acuh untuk mengelak ia daripada berlaku.



Antara sebabnya mungkin kerana hipertensi tidak menunjukkan gejala menakutkan.Malah hanya 10 peratus sahaja di kalangan pesakit tekanan darah tinggi yang merasai simptom seperti pening kepala atau simptom lain, Justeru tidak hairanlah apabila bercerita mengenai hipertensi pada hari ini, kita sedang berdepan dengan dua masalah utama.

Pertama, orang ramai tidak mengambil berat tentang tekanan darah mereka dan kedua, mereka yang sudah menghidapinya tetapi tidak pula mendapatkan rawatan yang betul.



Mengikut kajian yang dijalankan lebih 30 peratus daripada penduduk negara ini menghidap tekanan darah tinggi dan sebilangan besar penghidapnya terdiri daripada kaum Melayu.

Ini dengan secara tidak langsung menunjukkan cara hidup di bandar dan di desa tidak banyak perbezaan, di samping faktor genetik juga berkemungkinan memainkan peranan yang besar.

Perkara ini diakui oleh Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Sim Kui Hian.



Katanya, di Malaysia, empat daripada 10 dewasa menghidap tekanan darah dengan 26 peratus pesakit mempunyai tekanan darah terkawal.

Namun dengan ledakan teknologi terkini, penghidap hipertensi kini mempunyai pilihan merawat penyakit tersebut dengan sejenis ubat yang mampu mengurangkan tekanan darah tinggi secara konsisten selama 24 jam iaitu Rasilez .



Dr. Sim berkata, ubat ini berfungsi dengan menyasar terus kepada sumber tekanan darah tinggi iaitu enzim renin seterusnya mengurangkan tekanan.

''Ubat ini juga membekalkan ejen untuk merendahkan tekanan darah dengan tahap keberkesanan yang melebih 24 jam,'' katanya ketika majlis pelancaran Rasilez di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Malah tegasnya, dalam tempoh terdekat, pesakit akan merasai kekurangan.

Katanya lagi, apabila pesakit mengambil ubat ini, ia mampu mengurangkan tekanan tersebut dalam tempoh 24 jam.



"Apabila digunakan bersendirian ubat ini boleh menunjukkan lebih banyak pengurangan tekanan darah dari enzim penghalang pengubahsuai angiotensin (ACE), ramipril dan diuretik, hydrochlorothiazide (HCT).

''Bagi pesakit yang sudah mengambil ubat yang lain, tetapi tidak bertahan, Rasilez memberikan pengurangan tekanan darah yang lebih apabila ditambah kepada terapi yang sedia ada.

Kata Dr. Sim lagi, pesakit boleh menggunakan ubat ini sahaja atau pun bersama ubatan yang lain kerana mereka diberikan perlindungan dengan mengekalkan 91 peratus keberkesanan tekanan darah selepas satu dos.



Rasilez juga tegasnya merupakan satu rawatan pilihan ekoran kebanyakan ubat tekanan darah tinggi di pasaran gagal berfungsi sepanjang masa terutama sekali pada waktu awal pagi apabila tekanan darah naik.

Malah ia juga tergolong dalam kelas ubat baru yang dipanggil penghalang renin langsung.

"Ia bertindak dengan menyekat sistem renin angiotensin aldosterone (RAAS) secara langsung,'' terangnya lagi.

Jelasnya, Rasilez telah pun didaftarkan di bawah Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kementerian Kesihatan Malaysia.

''Buat masa ini, pasaran ubat ini hanyalah untuk hospital swasta dan dalam masa terdekat kita akan pasarkan di hospital-hospital kerajaan.

Read more...

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP