451 kanak-kanak, remaja maut kemalangan sepanjang 2008
>> Monday, June 21, 2010
SEREMBAN 16 Julai - Sebanyak 451 kematian yang dicatatkan di jalan raya di seluruh negara tahun lalu membabitkan golongan kanak-kanak dan remaja berusia antara enam dan 20 tahun.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hoi Chew berkata, daripada jumlah itu, 104 orang melibatkan kanak-kanak berusia antara enam hingga 10 tahun, 139 orang (11 dan 15 tahun) dan 208 (16 dan 20 tahun).
Jelas beliau, sebahagian daripada kes kemalangan maut itu dipercayai melibatkan penunggang motosikal kanak-kanak serta remaja yang tidak berlesen.
''Kementerian Pengangkutan akan mempertingkatkan pelaksanaan kempen memupuk kesedaran keselamatan jalan raya di kalangan kanak-kanak dan remaja bagi mengurangkan kadar kemalangan maut membabitkan golongan tersebut,'' katanya.
Robert Lau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sudut Keceriaan dan Keselamatan Jalan Raya 2009 anjuran ICI Paints Sdn. Bhd. di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said dekat sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri, Datuk Ismail Lasim; Pengarah Urusan ICI Paints Sdn. Bhd., Goh Cheok Weng dan pengetua cemerlang sekolah berkenaan, Wan Ruhayah Wan Yaacob.
Menurut beliau lagi, setiap anggota masyarakat terutamanya ibu bapa perlu memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan jalan raya di negara ini selamat kepada kanak-kanak serta remaja.
Dalam pada itu, jelasnya, sebanyak 2,713 kematian akibat kemalangan jalan raya berlaku di seluruh negara sepanjang Januari hingga Mei tahun ini.
0 comments:
Post a Comment