Lima maut kes denggi dalam 7 hari

>> Monday, June 21, 2010

2010/06/17

891 kejadian dilapor tempoh sama

KUALA LUMPUR: Lima kematian akibat demam denggi dilaporkan dalam tempoh tujuh hari bermula 6 Jun lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican. Beliau berkata, tiga kematian berlaku di Selangor dan masing-masing satu kes di Perak dan Sarawak.

“Empat daripada lima kematian ini berlaku di kawasan wabak denggi dan di kawasan yang tidak bersih serta mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi iaitu antara empat hingga 18 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. Beliau berkata, dalam tempoh itu juga 891 kes dilaporkan, iaitu peningkatan 77 kes berbanding minggu sebelumnya, menjadikan jumlah terkumpul sehingga kini ialah 21,309 kes berbanding 23,056 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

“Walaupun bilangan kes menurun sebanyak lapan peratus pada tahun ini, bilangan kematian meningkat 21 peratus daripada 57 kematian tahun lalu kepada 69 kematian dalam tempoh yang sama tahun ini,” katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, sepanjang minggu lalu, ada 22 kawasan berisiko tinggi yang masih aktif berbanding 24 lokaliti berisiko tinggi pada minggu sebelumnya, membabitkan Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan dan Kelantan.
Daripada jumlah itu, 11 kawasan masih mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi dan hanya empat daripada 22 lokaliti berisiko tinggi melaksanakan aktiviti gotong-royong untuk membersihkan kawasan itu.

Sementara itu, bagi tempoh yang sama, lima kes penyakit chikungunya dilaporkan iaitu tiga di Sarawak dan masing-masing satu kes di Selangor dan Sabah.

Jumlah terkumpul kes chikungunya ialah 566 kes berbanding 2,687 kes, penurunan sebanyak 2,121 kes atau 79 peratus untuk tempoh yang sama pada tahun 2009, katanya. – BERNAMA

Read more...

36 penyakit dilindungi dana KWSP

2010/06/15
Pengeluaran Kesihatan penyakit kritikal baru kuat kuasa hari ini

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menambah jumlah penyakit kritikal yang boleh dikeluarkan di bawah Pengeluaran Kesihatan daripada 13 jenis penyakit kepada 36 jenis penyakit.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol berkata, jumlah penyakit kritikal yang baru berkuat kuasa hari ini. “Selain daripada 36 penyakit kritikal ini, ahli juga boleh membuat pengeluaran bagi merawat ahli keluarga berumur di bawah 16 tahun untuk tiga lagi penyakit kritikal iaitu lelah yang teruk, leukemia dan kecacatan intelektual disebabkan kemalangan atau penyakit,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Azlan berkata, bagi pengeluaran kesihatan ahli dibenar mengeluarkan simpanan mereka daripada Akaun 2 bagi membiayai kos rawatan penyakit kritikal untuk diri mereka dan ahli keluarga.

“Ahli keluarga di bawah pengeluaran ini termasuk pasangan suami isteri, anak, anak tiri atau anak angkat yang sah dari segi perundangan, ibu bapa, mentua, ibu bapa tiri atau ibu bapa angkat yang sah dari segi perundangan dan adik-beradik.

“Namun ahli tidak layak untuk memohon pengeluaran ini sekiranya penyakit yang dihidapi mereka tidak dinyatakan dalam senarai penyakit kritikal KWSP atau kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan ahli atau majikan ahli keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata, semua pengeluaran tertakluk kepada kesahihan laporan kesihatan, bil dan resit yang tidak melebihi tempoh satu tahun dari tarikh permohonan pengeluaran dibuat di atas nama pesakit atau pemohon.

Read more...

Dua bayi perlu bantuan

2010/06/21
Sumbangan keseluruhan RM80,000 rawat jantung berlubang

GEORGETOWN: Dua bayi masing-masing berusia 20 hari dan tujuh bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan di Pusat Perubatan Gleneagles (GMC), di sini.

Nur Batrisyia Qistina Zamri, 20 hari, memerlukan bantuan kewangan berjumlah RM50,000 untuk menjalani pembedahan segera bagi memulihkan saluran jantung dan membolehkannya bernafas dengan lancar.

Bapanya, Zamri Zaharo, 30, yang bekerja sebagai juruteknik dengan pendapatan RM1,600 dan ibunya, Norhidayah Othman, 30, seorang suri rumah tidak mampu untuk menampung kos pembedahan itu.
Norhidayah ketika ditemui baru-baru ini, berkata mereka tidak mampu menampung kos pembedahan yang tinggi selepas membelanjakan hampir RM6,000 untuk kos bersalin baru-baru ini.

“Anak kami disahkan menghidap penyakit jantung selepas empat hari dilahirkan akibat mengalami demam kuning yang agak tinggi,” katanya.

Seorang lagi bayi, Muhammad Afiq Rayyan Zolkifli, tujuh bulan, yang menghidap penyakit jantung berlubang dan saluran darah sempit memerlukan pembedahan segera bagi memulihkan semula saluran itu.

Ibunya, Noor Aswani Shabudin, 34, seorang kakitangan swasta dari Gurun, Kedah, buntu memikirkan bagaimana mahu mencari wang untuk tujuan itu selain terpaksa mengharapkan pendapatan suami, Zolkipli Ahmad, 42 yang hanya bekerja sendiri.
Beliau berkata, keluarganya memerlukan sumbangan untuk menampung kos pembedahan anak sulungnya yang berjumlah RM30,000.

Sumbangan boleh disampaikan dengan menghantar cek atau wang pos kepada NSTP Charity Fund, Bahagian Kewangan/Tabung Kebajikan NSTP, The New Straits Times Press (M) Berhad, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur dengan menulis nama kanak-kanak berkenaan di belakang cek.

Read more...

Nahas jalan raya meningkat 9.7%

MELAKA 12 Jan. - Walaupun pelbagai kempen keselamatan jalan raya diadakan setiap tahun, namun jumlah kemalangan termasuk yang melibatkan kematian di negeri ini terus meningkat.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd. Rodhwan Mohd. Yusof (gambar) berkata, ini dibuktikan dengan statistik kemalangan tahun lalu yang meningkat sebanyak 1,178 kes atau 9.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.



Menurut beliau, pada tahun lalu, sebanyak 13,286 kes kemalangan kemalangan jalan raya direkodkan berbanding 12,108 kes pada 2008.

"Jumlah kemalangan maut juga meningkat iaitu sebanyak 10 kes, daripada 235 kes pada 2008 kepada 245 kes pada tahun lalu.



"Kebanyakan kematian pula terdiri daripada pemandu dan penumpang kereta," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan di ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, di sini semalam.

Sehubungan itu Mohd. Rodhwan menambah, pelbagai usaha yang lebih holistik akan dirangka tahun ini termasuk meningkatkan lagi penguatkuasaan, operasi dan program pencegahan.

Katanya, antaranya dengan mengadakan pameran dan ceramah keselamatan jalan raya di sekolah-sekolah rendah bagi menyemai sikap pemanduan berhemah sejak di peringkat awal.



Dalam perkembangan lain, Mohd. Rodhwan berkata, polis negeri berjaya menangkap seramai 2,085 penagih dadah atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1985 di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Tambahnya, dalam tempoh sama, polis turut merampas harta bernilai RM387,259.43 di bawah Akta Dadah Merbahaya (Pelucutan Harta).


Read more...

451 kanak-kanak, remaja maut kemalangan sepanjang 2008

SEREMBAN 16 Julai - Sebanyak 451 kematian yang dicatatkan di jalan raya di seluruh negara tahun lalu membabitkan golongan kanak-kanak dan remaja berusia antara enam dan 20 tahun.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hoi Chew berkata, daripada jumlah itu, 104 orang melibatkan kanak-kanak berusia antara enam hingga 10 tahun, 139 orang (11 dan 15 tahun) dan 208 (16 dan 20 tahun).

Jelas beliau, sebahagian daripada kes kemalangan maut itu dipercayai melibatkan penunggang motosikal kanak-kanak serta remaja yang tidak berlesen.

''Kementerian Pengangkutan akan mempertingkatkan pelaksanaan kempen memupuk kesedaran keselamatan jalan raya di kalangan kanak-kanak dan remaja bagi mengurangkan kadar kemalangan maut membabitkan golongan tersebut,'' katanya.

Robert Lau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sudut Keceriaan dan Keselamatan Jalan Raya 2009 anjuran ICI Paints Sdn. Bhd. di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said dekat sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri, Datuk Ismail Lasim; Pengarah Urusan ICI Paints Sdn. Bhd., Goh Cheok Weng dan pengetua cemerlang sekolah berkenaan, Wan Ruhayah Wan Yaacob.

Menurut beliau lagi, setiap anggota masyarakat terutamanya ibu bapa perlu memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan jalan raya di negara ini selamat kepada kanak-kanak serta remaja.

Dalam pada itu, jelasnya, sebanyak 2,713 kematian akibat kemalangan jalan raya berlaku di seluruh negara sepanjang Januari hingga Mei tahun ini.

Read more...

Murid maut lantunan besi


KEADAAN cermin kereta yang dinaiki Muhammad Taufiq Asyraf Zamunir (gambar kecil) yang maut selepas terkena besi yang melantun dari jalan raya di Jalan Kangar-Alor Setar berhampiran Kampung Permatang Bongor, Sanglang Perlis semalam.


KANGAR 20 Jun – Seorang murid tahun lima ini begitu bersemangat untuk memulakan persekolahannya esok, selepas bercuti panjang selama dua minggu.

Malah pagi-pagi lagi, Muhammad Taufiq Asyraf Zamunir, 11, telah ke kedai untuk menggunting rambutnya.

Namun hasrat murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Baru di sini, itu tidak kesampaian apabila dia terbunuh ketika dalam perjalanan ke Alor Setar dengan menaiki kereta bersama bapa saudaranya.



Lebih tragis apabila punca kematiannya akibat terkena sebatang besi seberat 2.7 kilogram yang tercampak dari sebuah treler semasa berselisih di Jalan Kangar-Alor Setar, berhampiran simpang Permatang Bogor di sini, pada pukul 2.30 petang ini.

Besi jenis ‘C Channel’ dan berukuran 8x8 sentimeter itu dikatakan terjatuh di atas jalan lalu terpelanting ke atas cermin hadapan kereta tersebut.



Lantunan besi tersebut menyebabkan cermin hadapan kereta pecah dan terus mengenai kepala mangsa yang berada di tempat duduk belakang.

Besi berkenaan kemudian mengenai cermin belakang kereta.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Rosli Yahaya ketika dihubungi di sini hari ini berkata, Muhammad Taufiq yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, bapa saudara mangsa, Mohd. Mustakim Ramjan, 19, yang memandu kereta dan seorang rakannya, di sebelah tempat duduk pemandu, bagaimanapun hanya cedera ringan.



“Semasa kejadian, semua mereka dalam perjalanan ke sebuah kedai motosikal di Alor Setar,” katanya.

Bapa mangsa, Zamunir Safari Putih, 42, berkata, dia menyedari sikap pelik Muhammad Taufiq sejak seminggu lalu apabila sering bertanya mengenai syurga.

“Kali terakhir dia bertanya adalah semalam, dia tanya.. Abah macam mana hendak masuk syurga, saya kata dia boleh terus masuk syurga kerana belum baligh.

“Namun berbeza dengan saya kerana kena timbang dosa pahala,” ujarnya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini hari ini.



Menurut Zamunir, selain itu, anaknya tersebut juga bersemangat hendak memulakan persekolahannya esok dengan pergi sendiri ke kedai gunting rambut untuk memotong rambut pagi ini.

Katanya, Muhammad Taufiq juga beria-ia ingin menemani bapa saudaranya tersebut ke Alor Setar kerana mendakwa ia merupakan kali terakhir dia menaiki kereta itu.

“Dia menyampaikan hajatnya itu kepada ibunya, Suzita Ramjan, 40, sebelum menaiki kereta tersebut.



“Kami sekeluarga tidak menyangka memang itu kali terakhir dia menaiki kereta ini kerana kami fikir mungkin kerana cukai kereta itu akan berakhir hari ini,” katanya.

Muhammad Taufiq yang mempunyai kegemaran mengumpul setem dan pensil merupakan anak ketiga daripada empat beradik.

Sementara itu, pemandu lori treler berkenaan telah ditahan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan kecuaian semasa memandu sehingga menyebabkan kematian.


Read more...

Hipertensi pembunuh senyap


Prof. Dr. Sim Kui Hian (kiri) bersama Prof. Hans Henrick Parving dan Avinash Potnis (kanan) semasa pelancaran ubat resilez baru-baru ini.


TEKANAN darah tinggi (hipertensi) kadang-kala digelar 'pembunuh senyap' kerana tidak menunjukkan apa-apa simptom pada peringkat awal tetapi boleh menyebabkan bilangan kematian yang tinggi di kalangan penduduk negara ini dan juga di seluruh dunia.

Walaupun ia adalah antara penyakit yang paling dikenali oleh rakyat Malaysia selain kencing manis dan sakit jantung, ramai yang bersikap acuh tidak acuh untuk mengelak ia daripada berlaku.



Antara sebabnya mungkin kerana hipertensi tidak menunjukkan gejala menakutkan.Malah hanya 10 peratus sahaja di kalangan pesakit tekanan darah tinggi yang merasai simptom seperti pening kepala atau simptom lain, Justeru tidak hairanlah apabila bercerita mengenai hipertensi pada hari ini, kita sedang berdepan dengan dua masalah utama.

Pertama, orang ramai tidak mengambil berat tentang tekanan darah mereka dan kedua, mereka yang sudah menghidapinya tetapi tidak pula mendapatkan rawatan yang betul.



Mengikut kajian yang dijalankan lebih 30 peratus daripada penduduk negara ini menghidap tekanan darah tinggi dan sebilangan besar penghidapnya terdiri daripada kaum Melayu.

Ini dengan secara tidak langsung menunjukkan cara hidup di bandar dan di desa tidak banyak perbezaan, di samping faktor genetik juga berkemungkinan memainkan peranan yang besar.

Perkara ini diakui oleh Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Sim Kui Hian.



Katanya, di Malaysia, empat daripada 10 dewasa menghidap tekanan darah dengan 26 peratus pesakit mempunyai tekanan darah terkawal.

Namun dengan ledakan teknologi terkini, penghidap hipertensi kini mempunyai pilihan merawat penyakit tersebut dengan sejenis ubat yang mampu mengurangkan tekanan darah tinggi secara konsisten selama 24 jam iaitu Rasilez .



Dr. Sim berkata, ubat ini berfungsi dengan menyasar terus kepada sumber tekanan darah tinggi iaitu enzim renin seterusnya mengurangkan tekanan.

''Ubat ini juga membekalkan ejen untuk merendahkan tekanan darah dengan tahap keberkesanan yang melebih 24 jam,'' katanya ketika majlis pelancaran Rasilez di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Malah tegasnya, dalam tempoh terdekat, pesakit akan merasai kekurangan.

Katanya lagi, apabila pesakit mengambil ubat ini, ia mampu mengurangkan tekanan tersebut dalam tempoh 24 jam.



"Apabila digunakan bersendirian ubat ini boleh menunjukkan lebih banyak pengurangan tekanan darah dari enzim penghalang pengubahsuai angiotensin (ACE), ramipril dan diuretik, hydrochlorothiazide (HCT).

''Bagi pesakit yang sudah mengambil ubat yang lain, tetapi tidak bertahan, Rasilez memberikan pengurangan tekanan darah yang lebih apabila ditambah kepada terapi yang sedia ada.

Kata Dr. Sim lagi, pesakit boleh menggunakan ubat ini sahaja atau pun bersama ubatan yang lain kerana mereka diberikan perlindungan dengan mengekalkan 91 peratus keberkesanan tekanan darah selepas satu dos.



Rasilez juga tegasnya merupakan satu rawatan pilihan ekoran kebanyakan ubat tekanan darah tinggi di pasaran gagal berfungsi sepanjang masa terutama sekali pada waktu awal pagi apabila tekanan darah naik.

Malah ia juga tergolong dalam kelas ubat baru yang dipanggil penghalang renin langsung.

"Ia bertindak dengan menyekat sistem renin angiotensin aldosterone (RAAS) secara langsung,'' terangnya lagi.

Jelasnya, Rasilez telah pun didaftarkan di bawah Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kementerian Kesihatan Malaysia.

''Buat masa ini, pasaran ubat ini hanyalah untuk hospital swasta dan dalam masa terdekat kita akan pasarkan di hospital-hospital kerajaan.

Read more...

Barah Prostat (BPH) ganggu kualiti hidup

>> Tuesday, June 1, 2010

Oleh ZUHAYATI YAZID
Gambar AMIN FARIJ HASAN

UMUM mengetahui bahawa ancaman prostat antara penyakit yang paling kerap dihidapi lelaki. Namun masih ramai di kalangan golongan tersebut yang mengambil mudah terhadap ancaman kesihatan ini.

Malah perasaan malu, rendah diri dan bimbang jika disahkan menghidap penyakit ini menyebabkan sebilangan lelaki lebih rela menanggung kesakitan dalam diam daripada berusaha mendapatkan rawatan awal.

Perkara itu itu diakui oleh Pakar Urologi Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Prof. Madya Dr. Lee Eng Geap bahawa tahap kesedaran di kalangan lelaki terhadap penyakit tersebut masih rendah.

''Mengikut statistik kira-kira 10 hingga 20 peratus lelaki menghadapi masalah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan atau khidmat nasihat.

''Sikap ini perlu diubah bagi membolehkan mereka membina keluarga bahagia di samping mengamalkan gaya hidup yang sihat,'' tegasnya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Menurutnya, lelaki yang berumur 50 tahun ke atas adalah kumpulan berpotensi besar mengalami masalah yang lebih dikenali sebagai Benign Prostatic Hyperplasia (BPH), yang boleh menyebabkan pelbagai komplikasi termasuk gangguan terhadap fungsi buah pinggang.

''Punca sebenar BPH masih tidak ketahui tetapi beberapa penyelidikan mendapati fenomena ini mungkin disebabkan oleh perubahan hormon yang berlaku akibat peningkatan umur,'' jelasnya

Selain itu, faktor pemakanan dan genetik juga turut mempengaruhi timbulnya masalah ini.

Menerangkan secara ringkas, Dr. Eng Geap memberitahu, BPH biasa berlaku kepada lelaki yang berumur 40 tahun ke atas terutama lewat 60-an atau awal 70-an.

Namun, ia masih boleh berlaku lebih awal, khususnya bagi lelaki yang ada sejarah masalah kelenjar prostat di kalangan keluarga rapat.

"BPH tidak menjadi ancaman besar kalau ia dapat dirawat ketika masih di peringkat awal. Sebab itu kita sentiasa galakan golongan lelaki menjalani pemeriksaan berkala sebagaimana wanita," katanya.

Eng Geap mengakui terdapat kekeliruan di kalangan sesetengah individu yang mengaitkan BPH dengan penyakit barah sedangkan kedua-duanya adalah situasi berbeza.

''BPH berlaku akibat kelenjar prostat yang terletak antara rektum dan pundi kencing telah membesar iaitu sebesar kacang walnut.

"Keadaan ini menyebabkan uretra iaitu saluran kencing akan terhimpit dan menimbulkan tanda-tanda kerumitan dalam proses membuang air kencing.

''Situasi ini dikenali sebagai pembesaran prostat (BPH) dan ini bukanlah barah seperti anggapan sesetengah orang," katanya serius.

Dr. Eng Geap menjelaskan, kemunculan BPH akan mencetuskan pelbagai masalah dan boleh memberi kesan pada gaya hidup individu terbabit.

Antaranya, kerap kencing pada waktu malam, daya pengaliran air kencing yang semakin lemah dan berasa tidak berupaya untuk mengosongkan pundi kencing dengan sepenuhnya.

''Pesakit juga akan mengalami kesukaran untuk mula kencing, kencing yang terhenti-henti berulang kali dan terdapat sisa air kencing selepas kencing," ujarnya.

Katanya, masalah tersebut tidak harus dipandang ringan kerana jika dibiarkan akan memudaratkan sistem badan yang lain.

''Selain BPH, tanda-tanda ini juga boleh timbul atas sebab-sebab yang lain dan ia mungkin adalah tanda-tanda penyakit yang lebih serius seperti jangkitan kuman pada pundi kencing atau jangkitan kuman pada sistem buah pinggang.

''Apa yang perlu dilakukan ialah memberitahu doktor sekiranya anda mempunyai sebarang tanda-tanda tersebut agar doktor dapat mengesahkan punca masalah sebenar,'' terangnya lagi.

Beliau menegaskan lagi, tanpa rawatan awal prostat ini akan terus membengkak dan menjadi lebih besar serta meningkatkan risiko dalam jangka masa panjang.

Katanya, kalenjar prostat yang normal biasanya bersaiz 20 gram bagaimanapun bagi yang bermasalah boleh membesar sehingga 200 gram.

Kadangkala terdapat juga kes-kes di mana pembesaran prostat yang tidak dirawat boleh menimbulkan masalah-masalah batu karang di dalam pundi kencing, jangkitan ginjal serta kerosakan pada pundi kencing, ginjal dan salur kencing.

Rawatan

Eng Geap memberitahu, pemeriksaan awal amat penting bagi memastikan sejauh mana seriusnya pembengkakkan tersebut.

"Doktor akan memastikan bahawa tanda-randa yang dialami itu adalah BPH dan rawatan yang sesuai akan ditentukan.

"Setakat ini terdapat dua jenis ubat untuk rawatan ini iaitu 5 Alpha Reductase Inhibitors yang bertindak mengecutkan kelenjar prostat dan sekali gus membolehkan kencing menjadi lawas.

"Satu lagi ubat ialah Alpha Bloker yang berfungsi untuk melonggarkan kelenjar prostat bagi tujuan memudahkan proses membuang air kecil," katanya.

Namun menurut Dr. Eng Geap, sekiranya pesakit berada di peringkat serius pembedahan perlu dilakukan.

''Dengan ledakan teknologi yang semakin canggih, pesakit yang menghidapi pesakit ini tidak perlu risau kerana pembedahan secara sistem laser iaitu Laser Photoselective Vaporisation of Prostate (PVP).

''Doktor akan menggunakan cahaya laser hijau berkuasa tinggi yang bertindak membenarkan pigmen darah di dalam tisu prostat menyerap cahaya ini lalu memanaskan tisu prostat ketahap pengewapan,'' tegasnya.

Katanya, dengan kecanggihan sistem laser hijau ini tisu prostat bermasalah dapat dikeluarkan dalam masa yang singkat dengan pendarahan yang minimum.

Ditanya mengenai kesan daripada pembedahan laser ini, Eng Geap memberitahu, 80 hingga 90 peratus pesakit yang menjalani pembedahan sistem laser hijau ini kembali lawas dalam proses membuang air kecil.

Read more...

Jangan Tangguh Rawat Kanser

KISAH yang dipaparkan minggu ini memang lain daripada kisah yang pernah anda baca sebelum ini. Ia bukan tentang masalah rumahtangga, anak menantu, perebutan harta dan sebagainya, sebaliknya adalah curahan hati tulus ikhlas Puan Zuhainie tentang penyakit kanser yang dihidapinya sejak lebih empat tahun lalu.

Kepada anda yang tidak pernah melihat saudara mara ataupun kenalan yang diserang penyakit ini maka anda tidak akan dapat membayangkan penderitaan yang ditanggung oleh pesakitn. Kecuali jika anda pernah membantu, merawat atau melaluinya sendiri. Ketika itu barulah anda tahu betapa hebatnya penderitaan yang terpaksa dilalui dan ditanggung oleh pesakit, demikian cerita Zuhainie dalam e-melnya.

''Dulu saya tak suka langsung pergi ke hospital kerana saya takut dan sedih melihat mereka yang menderita menanggung kesakitan. Bukan saya tidak bersimpati, tetapi saya ngeri dan kesihan melihat orang sakit.

''Namun berita kematian Datin Seri Endon kerana penyakit kanser menyedarkan saya tentang pembunuh nombor satu ini. Sejak itu entah kenapa saya begitu mengambil tahu sangat tentang penyakit kanser ini.

''Hendak dijadikan cerita dan Allah mahu menguji keimananan saya, pada hujung 2006 saya didiagnos dan disahkan oleh doktor pakar mempunyai clusters of infiltrating lobular carcinoma cells di bahagian payudara kanan dan cysts di sebelah kiri. Saya terkejut dan tidak menduga mendapat penyakit pembunuh nombor satu ini.

''Walaupun takut namun saya terpaksa ikut nasihat doktor, demi kesihatan saya. Selepas mengambil kira faktor umur belum 50 tahun dan kos perubatan mahal, maka saya terpaksa setuju dengan cadangan doktor supaya menjalani pembedahan serentak kedua-dua payudara saya.

''Memang saya takut, tetapi demi kesihatan, saya terpaksa menjalani pembedahan serentak membuang mastectomy di sebelah kanan dan cysts di sebelah kira payudara saya.

''Saya rasa tak ramai pesakit kanser yang melalui dua pembedahan serentak seperti saya lalui. Saya masuk bilik pembedahan pukul 3 petang dan keluar 9 malam. . Selepas dibedahsaya terlantar tujuh hari di hospital dan disambung sebulan lagi berehat di rumah

Puasa

''Masa itu di bulan Ramadan, suami dan dua anak saya ikut tumpang tidur di bilik hospital. Mereka buka puasa dan sahur di hospital. Saya bersyukur suami saya ambil cuti dan sentiasa di sisi sepanjang saya di hospital. Anak sulung cuti belajar, adiknya cuti sekolah.

''Siang hari suami saya bergegas balik ke rumah untuk mandi dan berehat. Dia datang semula waktu berbuka. Dialah bapa yang amat pengasih sepanjang tempoh saya sakit dan tidak berdaya. .

''Oleh kerana kos perubatan susulan juga mahal, atas nasihat doktor bedah, saya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk berjumpa onkologi bagi pemeriksaan lanjutan. Syukur kepada Allah saya disahkan menghidap kanser tahap 1 dan tidak perlu menjalani kimoterapi.

''Tetapi saya kena makan ubat temoxefen setiap hari selama lima tahun yang diberi percuma oleh HKL. Bermakna tarikh tamat makan ubat kanser tersebut pada tahun depan, InsyaAllah.

''Namun penggunaan temoxefen membawa kesan sampingan seperti risiko kanser rahim, malah pengambilan bahan berkenaan selepas lima tahun pula didapati tidak berupaya meninggikan peluang pesakit untuk terus hidup kerana ia sekadar pilihan bagi tempoh lima5 tahun saja. Penjelasan doktor bagaikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas saya.

''Untuk rawatan susulan, setiap bulan saya ulang alik ke Pusrawi dan HKL selama setahun.Rawatan pesakit luar dikurangkan kepada tiga bulan sekali di Pusrawi dan tiga bulan lagi HKL, begitulah untuk selama dua tahun.

''Tahun ketiga rawatan d kurangkan setiap enam bulan sekali di Pusrawi dan enam bulan lagi di HKL. Kini, mencecah tahun keempat, saya masih berjumpa doktor setiap enam bulan sekali.

''Kali terakhir saya berjumpa doktor, beliau memaklumkan setakad ini kesihatan saya baik dan tiada tanda serangan ulangan. Apa pun saya masih taat menjalani mamogram, membuat imbasan tulang, hati, pemeriksaan darah dan apa sahaja yang di suruh oleh doktor.

''Saya seorang yang aktif bersukan, mementingkan kesihatan dan mengamalkan pe makanan seimbang. Sebab itu saya masih cantik dan anggun walaupun usia di hujung 40-an. Oleh kerana saya tidak mahu sakit maka saya kuatkan semangat melawan penyakit ini.

''Pengalaman saya daripada tidak tahu menahu tentang kanser, kini saya banyak membaca berkaitan kanser dan penjagaan kesihatan. Apabila saya ke hospital saya akan berbual dengan pesakit lain bertanya khabar dan bertukar cerita. Saya juga akan meminta nombor telefon mereka dan berhubung sebagai kawan sehingga sekarang.

''Pada saya berbaloi berkawan dengan orang senasib dengan kita kerana mereka senang memahami perasaan dan tekanan hidup masing masing.

''Ya, saya akui ada kawan yang survive dan ada juga yang meninggal dunia akibat kanser sel menular ke bahagian lain atau serangan kali kedua.

''Nasihat seorang ustaz, penyakit adalah anugerah Allah, kita kena terima dan redha, InsyaAllah ada penawarnya. Berbekal ilmu dari beliau maka saya lawan penyakit ini dengan amalan ayat al-Quran, solat, zikir dan doa. Tidak kurang kata semangat dan nasihat dari keluarga, jiran dan sahabat. Rupanya ramai yang menyayangi saya.

''Saya tidak berdukacita disebabkan hilang payudara kerana selama ini suami tidak langsung menunjukkan perubahan terhadap saya, malah beliau tidak mahu pun saya sebut sakit atau mengeluh. Beliau tetap melayan dan menunaikan tanggungjawabnya sama seperti dulu, tiada perubahan tingkat laku atau dalam hubungan suami isteri.

''Saya rasa sangat bertuah kerana suami dan anak-anak sangat sayang dan baik melayan saya, seperti tiada apa pun perubahan pada diri saya. Malah dari tahun 2008 saya kerap dibawa makan angin di dalam dan luar negara.

''InsyaAllah sebelum Ramadan ini beliau merancang membawa saya bercuti ke London dan Eropah. Saya bukan memuji suami, tapi dia baik dan masih membawa saya ke mana saja dia pergi kecuali urusan rasmi kerjanya.

''Ada juga saya dengar keluhan dari kanser survivor lain, yang suami kahwin lagi, suami dingin, suami tinggalkannya dan bermacam ragam lagi. Untuk mereka, saya nasihatkan agar jangan mudah putus asa, teruskan kehidupan walaupun tanpa suami, kita ada anak-anak untuk dijaga dengan penuh kasih sayang. Merekalah permata hati.

Berserah

''Anda mesti sabar, jangan kesalkan nasib kerana ia sama seperti anda menyalahkan anugerah Allah. Paling penting jangan tinggalkan ubat dan pemeriksaan susulan di hospital. Jangan berserah tanpa usaha. Peluang sembuh di tangan anda. Tawakallah setelah berusaha.

''Kepada anak-anak inilah masanya jika mereka ingin melabur saham akhirat, jagalah ibu atau ayah anda yang sakit kerana Allah sentiasa merahmati mereka yang berbudi kepada ibu bapa. Kepada suami atau isteri inilah masanya jika anda ingin mendapat rahmat Allah, ada pembalasannya menjaga orang sakit khususnya ibu bapa, isteri ataupun suami.

''Saya meluahkan isi hati untuk tatapan sahabat, peminat DCCK, atau sesiapa sahaja yang diserang penyakit kanser, jangan melewatkan rawatan jika doktor sudah mengesahkan anda menghidap kanser. Jangan biarkan penyakit ini merebak ke tahap lebih teruk hingga sukar dirawat nanti. Ikut nasihat doktor dan bukan nasihat mereka yang tidak ada kepakaran merawat penyakit ini.

''Semua orang tak kira lelaki ataupun wanita memang takutkan penyakit kanser, tetapi kita tidak boleh menolaknya jika telah ditakdirkan, hanya Allah lebih tahu.'' Demikian cerita Puan Zuhainie semoga anda lebih mengerti.

Read more...

COPD pembunuh senyap


Dr. Aziah ahmad mahyiddin bersama Pengerusi COPD, Prof. Liam Chong Kin (kiri), Presiden Pertubuhan Torasik Malaysia, Prof. Dr. Roslina Manap (dua dari kanan), Pengurus Perhubungan Perubatan, Dr.Sivabalan Sivanesan (kanan) pada Forum dan Pelancaran COPD Assesment Test di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


APABILA menyebut mengenai penyakit paru-paru kronik (chronic obstructive pulmonary - COPD) mungkin ramai yang terpinga-pinga malah kemungkinan besar ada yang menganggap ia adalah penyakit yang baru dikenal pasti.

Realitinya COPD adalah penyakit yang kebanyakannya dialami oleh penghisap rokok tegar di seluruh dunia dengan nisbah dua daripada lima perokok akan menderita penyakit ini.

COPD juga penyebab keempat kematian, setanding dengan HIV/AIDS



Kajian yang dijalankan di rantau Asia Pasifik mendapati lelaki yang menghidap penyakit paru-paru kronik berkemungkinan mati lebih awal berbanding wanita yang menghidap penyakit sama.



Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Hospital Kuala Lumpur, Datin Dr. Aziah Ahmad Mahyiddin berkata, kesedaran masyarakat kita mengenai bahaya penyakit ini masih rendah.

''Ramai menganggap penyakit ini sekadar batuk-batuk ringan sedangkan ia boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat di peringkat awal.

"Malah ramai yang membuat andaian penyakit ini adalah sesuatu yang mudah sedangkan ia boleh meragut nyawa jika lambat dikesan,'' ujarnya.

Menurut anggaran terbaru Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), 210 juta orang sengsara ekoran diserang penyakit ini dan tiga juta orang mati kerana COPD.

Ia dijangka sebagai penyebab utama kepada kematian dan ketidakupayaan akibat masalah penyakit pernafasan menjelang tahun 2020.



Menurut Aziah, COPD hakikatnya sudah menjadi penyumbang kematian yang setaraf dengan HIV/AIDS, penyakit jantung dan kanser.

Menurut laporan WHO, pembunuh senyap ini telah membunuh hampir tiga juta nyawa setiap tahun.

Tegasnya, ia sejenis penyakit yang jarang didiagnos dan menggugat sistem respiratori seseorang secara perlahan-lahan tanpa disedari sehinggalah semuanya sudah terlambat.

''Ia juga menyebabkan pesakit mengalami penderitaan yang akhirnya menjejaskan kualiti kehidupan, seterusnya terdedah kepada risiko maut,'' katanyai.

Terangnya, penyebab utama kepada COPD ialah rokok. Lebih 90 peratus daripada penderita penyakit ini ialah perokok atau bekas perokok.



Punca lain penyakit sekatan pulmonari kronik ini termasuklah persekitaran seperti pencemaran udara atau asap kimia dan juga faktor genetik.

''COPD ialah sejenis penyakit kronik kerana ia kekal untuk tempoh yang sangat lama dengan pelbagai simptom yang kerap. Ia juga dianggap menyekat, kerana ia memberi kesan kepada aliran udara yang melalui paru-paru.

'' Sekatan ini menyebabkan pesakit menderita kerana gangguan pernafasan termasuklah ketika melakukan kerja harian yang mudah," ujarnya.

Tegas Aziah, merokok adalah satu daripada risiko umum COPD. Tabiat tidak sihat itu menyebabkan keradangan saluran pernafasan. Ia menambahkan pengeluaran mukus yang menyebabkan halangan kronik pada saluran pernafasan," jelasnya.



Katanya lagi, ramai di kalangan orang awam masih tidak mengetahui tanda-tanda awal penyakit ini yang kebiasaannya mempamerkan simptom tidak berbahaya seperti batuk, kesukaran bernafas, keletihan dan peningkatan pengeluaran mukus.

Lebih menggerunkan, jika lima orang merokok, dua daripada mereka berpotensi besar untuk dijangkiti penyakit ini.

''Jika tidak dirawat, COPD boleh membawa kepada sesak nafas yang teruk ketika melakukan aktiviti seharian sehingga kadang kala untuk memakai baju pun tidak mampu dilakukan oleh pesakit COPD," jelas Aziah.

Beliau berkata, penghidap penyakit COPD kebiasaannya berusia 40 tahun ke atas yang akan mengalami kesukaran bernafas dan batuk berkahak.



''Jangan beranggapan jika anda sudah berhenti merokok sejak usia muda, anda terkecuali menghidap penyakit ini. Sedikit sebanyak kesan merokok pada usia muda akan memberi kesan selepas umur 40 tahun ke atas.

Namun bagi mengurangi simptom COPD dan membenarkan pesakit hidup dengan lebih berkualiti, kaedah COPD Assesment Test (CAT) boleh dilakukan.

Pihaknya menyedari tahap kesedaran mengenai COPD di kalangan rakyat Malaysia amat rendah. Oleh itu, IPR berusaha mendidik orang ramai secara aktif mengenai bahaya penyakit tersebut.

''Kami sedia membantu dan memberikan rawatan tetapi segalanya terpulang kepada tekad pesakit itu sama ada mahu meninggalkan terus tabiat merokok atau sebaliknya,'' tambahnya.



Read more...

Implikasi Radang Usus

Oleh Dr. Tan Huck Joo


IBS adalah gangguan fungsi usus dan bukannya struktur usus seperti ketumbuhan atau tumor.


Penyebab IBD

Adalah menjadi kebiasaan orang menganggap bahawa IBD disebabkan oleh apa yang kita makan kerana IBD mengakibatkan keradangan di dalam salur penghadaman. Namun begitu, tiada bukti yang menunjukkan bahawa tabiat makan kita menyebabkan IBD.

Sungguhpun penyebab IBD tidak diketahui sepenuhnya, doctor percaya bahawa IBD berlaku disebabkan sistem pertahanan badan bertindakbalas dengan tisu usus sendiri. Selain itu, faktor yang menyebabkan IBD ialah sejarah keluarga yang pernah menghidapi IBD, jangkitan, immunologik (berkenaan dengan sistem imuniti badan) dan juga faktor kesihatan fisiologikal. Apa yang mencetuskan sistem imun badan menyebabkan IBD masih belum dikenalpasti. Tabiat merokok direkodkan sebagai penyebab kepada penyakit Crohn's yang teruk.

Tanda dan gejala

Tanda gejala lazim adalah sakit pada bahagian abdomen dan cirit-birit. Tanda-tanda lain termasuk:

# Cirit-birit yang mengandungi darah

# Kehilangan selera makan

# Penurunan berat badan

# Keluaran lendir daripada dubur

# Buang air besar berserta sakit atau berdarah

# Keinginan membuang air besar yang mendesak

# Kembung perut

# Fistula atau penyakit di bahagian dubur. Keadaan ini biasa berlaku di mana terdapat lelehan lendir di sekeliling dubur di kalangan penghidap penyakit crohn's

# Demam (berlaku semasa radang berlaku)

# Perasaan letih (kurang darah merah, rasa tidak sihat secara umumnya)

Komplikasi

IBD boleh menyebabkan pendarahan dari ulser (penghidap ulseratif kolitis) dan menyebabkan usus tembus (atau pecah). Penghidap penyakit crohn's mungkin mengalami usus sempit (lubang usus menjadi separuh tersekat dan menyempit) disebabkan oleh keradangan.

Penyakit radang usus mungkin boleh mempengaruhi organ lain di luar salur penghadaman, seperti pada sendi, mata, kulit dan hati. Pesakit yang banyak menggunakan ubat steroid untuk mengurangkan radang mungkin akan mendapat penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan osteoporosis. Dalam jangka masa panjang IBD boleh menyebabkan penghidap berisiko tinggi mendapat kanser kolon. Penghidap memerlukan pengawasan untuk mengenal pasti tanda awal kanser kolon.

Rawatan IBD

Disebabkan IBD merupakan penyakit kronik, ia memerlukan pengambilan ubat berjangka panjang. Objektif utama rawatan IBD adalah untuk mengkurangkan tindak- balas keradangan yang tidak normal. Sesetengah ubatan digunakan untuk merawat keradangan yang akut dan menjadikan penyakit ini terkawal. Ubatan lain berfungsi mengurangkan kekerapan keradangan dan menjadikan keadaan IBD stabil.

Steroids - Steroid akan diberikan kepada pesakit untuk penyakit yang aktif dan steroid hanya boleh digunakan dalam masa yang singkat. Steroids membantu mengurangkan gejala IBD tetapi tidak boleh menghalang IBD menjadi aktif. Kesan sampingan steroid sekiranya diambil dalam dos yang tinggi dan dalam masa yang panjang termasuk jerawat, katarak, osteoporosis( tulang reput) dan "moon face" (wajah bengkak menjadi bentuk bundar).

Mesalazine - Ubat ini berguna untuk mengawal IBD. Pesakit perlu mengambilnya dalam jangka masa yang panjang.Mesalazinine juga berguna semasa keradangan yang aktif.

Immunosippression - Kumpulan ubatan ini digunakan untuk menekan sistem imun (disebabkan IBD adalah penyakit berkaitan dengan reaksi imun badan sendiri). Malangnya, ubat ini lambat tindakannya, tetapi berguna untuk membantu pesakit yang penyakitnya tidak terkawal sepenuhnya dengan penggunaan ubat masalazine. Ianya juga mengurangkan kekerapan pengambilan steroid dan ubat ini mempunyai kurang kesan sampingan jangka panjang. Akan tetatpi, pesakit berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan kuman dan pemantauan ujian darah perlu dilakukan.

Anti-TNF agen - "Tumour necrosis factor" (TNF) adalah diperolehi dari sel darah putih dan ianya bertindak untuk memperbaiki tisu yang rosak. Inflixamab adalah anti-TNF antibodi yang telah diperakui untuk merawat penyakit crohn's dan ulser kolitis yang tahap sederhana hingga ke tahap teruk. Tetapi ubat ini agak mahal.

Antibiotik - Mtronidazole dan ciprofloxacin adalah dua antibiotik yang digunakan untuk merawat IBD. Ubat ini berguna untuk merawat IBD yang ringan dan akut. Tetapi ubat ini tidak berkesan untuk menstabilkan penyakit IBD.

Pembedahan - Pembedahan berpotensi penyembuhan penyakit ulser kolitis tetapi tidak berkesan untuk penyakit crohn. Pembedahan selalu disarankan untuk pesakit yang tidak tahan dengan kesan sampingan ubat dan pengambilan ubat tidak mendatangkan kesan. Doktor juga akan melakukan pembedahan terhadap penghidap ulser kolitis sekiranya terdapat tanda-tanda permulaan kanser atau telah menjadi kanser. Untuk penyakit crohn's, pembedahan adalah dianjurkan untuk pesakit yang menderita dengan komplikasi penyakit dan penyakit yang tidak bertindak-balas terhadap ubat-ubatan

Probiotik - Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa penggunaan probiotik sebagai terapi ajuvan untuk menstabilkan penyakit dan mengurangkan radang ulser kolitis yang ringan hingga radang yang sederhana. Ia boleh menstabilkan remisi yang berlaku di pouchitis (selalunya berlaku selepas pesakit menjalani pembedahan ulser kolitis).

Tip untuk pesakit yang hidup dengan IBD

Organisasi Gastroenteologi Dunia menyarankan petua ini untuk penghidap IBD:

1. Belajar tentang IBD dan tanda gejalanya.

2. Ingat bahawa setiap penghidap IBD adalah berbeza.

3. Cari seseorang yang boleh berkongsi dan mendengar masalah anda dan juga dapat bersimpati terhadap penyakit yang anda tanggung.

4. Makan secara seimbang.

5. Jangan melakukan aktiviti berlebihan yang diri anda tidak mampu melakukan.

6. Tanyakan pemberi perkhidmatan kesihatan anda tentang ubat yang anda makan, apakah kesan sampingannya dan berapa lama jangka masa penggunaannya.

l Dr. Tan Huck Joo adalah presiden Persatuan Gastroenterologi & Hepatologi Malaysia. Penulis rencana ini tidak menyokong dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang jenama atau produk. Rencana ini adalah sumbangan Persatuan Gastroenterologi & Hepatologi Malaysia yang disokong oleh Program Perut Sihat VITAGEN. Untuk mendapatkan buku mengenai kesihatan sistem penghadaman secara percuma, sila hubungi 03-56211408.



Read more...

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP