Tiga maut nahas lepas hujan
>> Monday, May 24, 2010
Tiga maut nahas lepas hujan
Oleh Veena Rusli
veena@bharian.com.my
2010/05/18
Mangsa mahu ziarah saudara di hospital sebelum kereta terbabas, dirempuh
KOTA KINABALU: Tiga termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun terbunuh dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Viva, teksi dan pacuan empat roda Toyota Prado di Kilometer 45, Jalan Semporna-Tawau, kira-kira 600 kilometer dari sini, petang semalam.
Mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian selepas hujan kira-kira jam 1.50 petang itu dikenal pasti sebagai penumpang teksi, Jamajah@Jumayah Hajad, 51, dan dua bersaudara yang menaiki Perodua Viva, Samilah Rangahu, 42, serta Putri Batrisyha Awang Raif, 5.
Difahamkan, penumpang Perodua Viva berkenaan dalam perjalanan ke Hospital Tawau bagi melawat anggota keluarga mereka.
Lima lagi mangsa dilaporkan parah, termasuk seorang kanak-kanak lelaki yang patah kaki dan dikejarkan ke Hospital Tawau bagi mendapatkan rawatan manakala dua lagi cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Mohd Azmi Khan Abdullah, ketika mengesahkan kejadian berkata, Perodua Viva yang dinaiki enam penumpang itu, dilaporkan dalam perjalanan dari Semporna ke Tawau manakala teksi terbabit dari arah bertentangan.
“Siasatan awal polis mendapati kemalangan yang berlaku di selekoh itu apabila pemandu Perodua Viva dipercayai terbabas ke lorong kanan lalu merempuh teksi yang dinaiki empat orang.
“Berikutan pertembungan itu, kedua-dua kenderaan terbabas ke kanan jalan sebelum Toyota Prado dari arah Semporna merempuh Perodua Viva berkenaan.
“Bagaimanapun, pemandu Toyota Prado itu tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Polis tidak menolak kemungkinan jalan basah dan licin sebagai punca kemalangan, Mohd Azmi Khan berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Keselamatan Jalan Raya.
Katanya, bedah siasat ke atas mayat selesai dilakukan petang semalam dan semua mayat sudah dituntut keluarga masing-masing sebelum urusan pengebumian dijalankan.
0 comments:
Post a Comment