Kerana miskin, Syazwan tolak tawaran ke IPT
>> Thursday, May 27, 2010
SUNGAI PETANI 12 April - Melihat kepada kejayaan dan kesenangan yang dimiliki oleh rakan sebayanya, perasaan seorang remaja, Mohd. Syazwan Abu Seman dari Taman Semarak di sini mudah tersentuh.
Namun apakan daya segala yang berlaku sudah ditakdirkan. Sebagai insan kerdil, Mohd. Syazwan, 19, pasrah menerima ketentuan Tuhan. Kepayahan ibu, Siti Aeshah Mohd. Noor, 48, yang terpaksa membesarkan empat anak selepas ayah yang sepatutnya menjadi tempat bergantung, meninggal dunia sejak tiga tahun lalu menuntut pengorbanan Mohd. Syazwan yang tidak berbelah bahagi.
Sebagai anak yang memahami kesusahan ibunya, dia tidak pernah meminta itu ini, sebaliknya turut sama membantu ibu meneruskan hidup dan mencari rezeki halal. Lebih memilukan, Mohd. Syazwan, terpaksa menolak tawaran untuk melanjutkan pelajaran di sebuah institut pengajian tinggi di Perlis kerana tidak sampai hati hendak menyusahkan ibunya.
Menurutnya, dia terpaksa bertindak demikian bagi menjaga ibunya yang menghidap penyakit buah pinggang dan darah tinggi kronik. "Ibu kini menderita akibat penyakit buah pinggang dan tidak mampu membuat kerja berat serta perlu bergerak menggunakan tongkat.
"Dia perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu di Rumah Sakit Angkatan Tentera, Kem Lapangan Terbang Sungai Layar," katanya ketika ditemui pemberita selepas dikunjungi Yang Dipertua (YDP), Pertubuhan Bekas Pasukan Khas Tentera Udara (PBPKU), Prof. Mejar (B) Dr. Mohd. Kamal Khir di sini baru-baru ini. Hadir sama ialah Timbalan YDP PBPKU, Othman Majid dan Setiausaha PBPKU, Ahmad Buyong Mokhtar.
Mohd. Syazwan berkata, bapanya, Ahmad Asri Jaafar yang merupakan bekas anggota Pasukan Khas Tentera Udara (Paskau) bertugas di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth dekat sini meninggal dunia kira-kira tiga tahun lalu selepas menderita penyakit barah usus. "Selepas bapa meninggal, ibu terpaksa jaga saya dan tiga lagi adik-adik termasuk yang sedang bersekolah. Kini ibu pula jatuh sakit, maka kami perlu jaga ibu.
"Kami sekeluarga bergantung kepada duit gaji bulanan yang disumbangkan abang dan juga bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 setiap bulan," katanya. Kata Mohd. Syazwan, walaupun terpaksa menolak tawaran melanjutkan pelajaran di Perlis, dia berazam mengubah nasib keluarga pada masa akan datang dengan menyertai kursus membaik pulih kenderaan perdagangan di Pusat Giat Mara Sungai Petani.
"Oleh kerana jarak tidak jauh dari rumah dan memudahkan menjenguk ibu yang sakit, saya mengambil keputusan belajar kemahiran di situ," katanya. Sementara itu, Mohd. Kamal berkata, PBPKU melakukan lawatan ke rumah Siti Aeshah tersebut berdasarkan maklumat disampaikan oleh anggota PBPKU di Sungai Petani."Dalam lawatan ini, kita turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan dapur kepada Siti Aeshah dan keluarganya," katanya.
Selain itu, katanya, pihaknya juga akan memanjangkan penderitaan yang dialami Siti Aeshah kepada pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk tindakan lanjut.
0 comments:
Post a Comment